Sahl bin Abdillah berkata:
“Segala kebaikan terhimpun pada empat cabang, iaitu Mengosongkan perut ( banyak puasa ), Diam, Khalwat ( bersuyian seorang diri ) dan berjaga malam kerana melakukan ibadah”.
Ibn ‘Ajibah pula berkata:
“Apabila seseorang menuju kepada Allah s.w.t dengan sifat – sifat yang tersebut nescaya sempurnalah kewaliannya, nyata dan zahirlah inayah-Nya, diteranginya dengan anwar ( cahaya – cahaya ) dan padamlah segala gambar makhluk daripada cermin hatinya”.
Hal ini sepertimana yang diisyaratkan oleh Syeikh Ibn ‘Ataillah pada sebahagian perkara ini yang melahirkan rasa hairan terhadap dua keadaan yang berlawanan.
Maksudnya:-
“Bagaimanakah akan terang hati seorang yang segala gambaran dunia ini terpahat dalam cermin hatinya. Atau bagaimanakah dia akan mengembara menuju kepada Allah, padahal dia masih terbelenggu oleh nafsu syahwatnya. Atau bagaimanakah akan dapat masuk ke hadrat Allah padahal dia masih belum bersih ( suci ) daripada kotoran kelalaiannya. Atau bagaimanakah dia berharap akan memahami segala isi rahsia, padahal dia belum bertaubat daripada segala kekeliruannya.”
Semua perkara yang baik seperti bercahaya hati, menuju kepada Allah s.w.t, masuk ke hadrat Allah s.w.t dan juga mengetahui sir – sir rabbani ( rahsia ketuhanan ). Semua ini tidak mungkin dicapai dan dikecapi tanpa mujahadah dan membuang segala sekatan dan halangan samada hawa nafsu syahwat, kelalaian atau kekeliruan.
Syeikh Zarruq berkata:
“Tidak mungkin hati bercahaya dengan halangan makhluk kerana sifat hati hanya satu. Apabila menerima satu perkara tidak mungkin menerima yang lain. Tandanya ialah sanggup berkorban tanpa sebarang penangguhan, dan cenderung berkorban tanpa sebab”.
Mutiara kata:
“Sengatan serangga yang berbisa ke atas jasad lebih ringan daripada sengatan syahwat ke atas hati”
Benarlah firman Allah s.w.t kepada Nabi Daud yang maksudnya:-
“Berilah peringatan kepada kaum mu supaya waspada daripada setiap nafsu syahwat kerana hati yang bergantung kepada syahwat dunia akalnya akan terhijab daripada-Ku”.
[ Hadis Kudsi ]
Al-Imam al-Baghawi di dalam tafsirnya menyebut hadis yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah r.a, sabda Rasulullah s.a.w:-
“Sesungguhnya orang yang beriman apabila melakukan dosa, tertera pada hatinya satu noktah hitam. Sebaliknya apabila bertaubat, ia dicabut dan apabila beristighfar, nescaya digilap hatinya. Dan apabila dosa bertambah, nescaya bertambah kotor hatinya hingga menyelubunginya. Begitulah rana’ yang disebut Allah s.w.t dalam kitab-Nya”.
[ Riwayat al-Tirmizi ]
Makna ayat ini ialah hati – hati mereka dikalahkan dengan sebab maksiat yang banyak dan menyelubunginya.
Al-Hasan berkata:
“Dosa di atas dosa sehingga hati mati”
Benarlah wasiat Imam Malik kepada muridnya, Imam Syafie’ r.h.m:
“Bertaqwalah kepada Allah dan jangan kamu padamkan cahaya Allah kurniakan kepadamu ini dengan maksiat”.
Syeikh al-junaid al-Baghdadi ditanya:
“Bagaimanakah cara untuk memutuskan diri daripada makhluk untuk menuju kepada Allah?”
Jawabnya:
“Bertaubat yang menghapuskan maksiat yang berterusan dan berasa takut yang menghapuskan angan – angan dan bertangguh – tangguh”.
{ Sumber: Syarah Al-Hikam – Ibn ‘Attaillah }
Tiada ulasan:
Catat Ulasan