Kepantasan Peredaran Masa…
Masa berlalu dengan cepat, secepat awan di langit dan selaju tiupan angin. Di saat – saat keseronokan, masa dirasa berlalu dengan begitu pantas sekali. Cuma di waktu kesedihan atau kedukaan datang melanda, maka masa yang berlalu disaat – saat begini dirasakan terlalu lama. Tetapi pada hakikatnya semuanya sama. Seorang sasterawan ‘Arab telah membayangkan kepantasan peredaran masa di dalam suatu puisinya ini:-
Masa..
Kau berlalu pantas,
Seminggu dirasakan sehari,
Sebulan bagaikan seminggu,
Tanpa disedari,
Tahun ke tahun..
Seumur hidup,
Kalian rasakan…dalam impian..
Kehidupan di dunia masanya amat singkat. Biarpun ada orang yang usianya lanjut, tetapi kesudahannya meninggal juga. Malah, setiap yang bernyawa akan menemui mati. Seorang sasterawan menyatakan di dalam puisinya:-
Hidup berakhir dengan mati,
Panjang, pendek, kesudahannya sama.
Di waktu ajal datang menjelma, usia yang panjang dapat dirasakan bagai sekelip mata atau sepantas hilangnya cahaya kilat di langit. Hakikat ini terdapat di dalam sebuah kisah perbualan di antara Nabi Nuh ‘alaihissalam dengan malaikat di saat Malaikat datang untuk merangkul nyawanya. Sekalipun nabi Nuh ‘alaihissalam hidup di dunia selama lebih dari seribu tahun tetapi di waktu Malaikat datang bertanya kepadanya:-
“Wahai Nabi yang terlalu panjang umur!. Bagaimana kamu rasakan dengan umur kamu yang panjang itu?”
Jawab Nabi Nuh : “Seperti sebuah rumah yang mempunyai pintu hadapan dan belakang. Aku masuk ke dalamnya melalui pintu hadapan dan keluar melalui pintu belakang!”
Hakikat dari cerita ini membayangkan tentang hidup dan mati itu adalah merupakan jarak masa yang begitu singkat. Seterusnya hinggalah berlaku qiamat kelak. Di hari qiamat semua manusia merasakan hidup di dunia ini bagaikan impian sahaja, kerana kepantasan peredaran masa. Firman Allah Subahanallah Wata’ala:
Maksudnya: “Seolah – olah di hari Mashyar kelak mereka baru dapat rasakan hidup di dunia, lama masanya hanyalah di antara semalam atau sehari semalam”. [ Surah Al-Nazi’at : Ayat 46 ]
Maksudnya: “Dan di hari mereka dikumpulkan di padang masyar, mereka tidak rasakan hidup di dunia kecuali hanya sesaat sahaja di siang hari, yang di waktu itu mereka hanya dapat berkenal – kenalan”. [ Surah Yunus : Ayat 45 ]
( Sumber: Detik – detik masa dalam kehidupan muslim ; Dr. Yusuf Al-Qardhawi ).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan