Kalau ada orang berkata bahawa perlunya taat dan patuh kepada Allah S.W.T, maka aku patuh. Tetapi amat malang, kerana sudah lama aku berdoa namun masih belum diperkenankan. Lantas dijawab oleh Ibn ‘Ataillah dengan hikmah ini:-
Maksudnya..
“Jangan berputus asa, sekiranya Allah s.w.t melewatkan penerimaan doa walaupun kamu sudah bersungguh – sungguh berdoa kerana Allah telah menjamin akan menerima semua doa menurut yang Dia kehendaki untukmu, bukan menurut kehendakmu dan pada waktu yang ditentukan-Nya, bukan pada waktu yang engkau tentukan”
Janganlah berputus asa disebabkan hajat yang dipohon lambat diterima atau lambat dimakbulkan, sedangkan kamu bersungguh – sungguh berdoa. Hal ini adalah kerana Allah s.w.t telah menjamin penerimaan-Nya sepertimana firman-Nya:
“Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku akan perkenankannya”
[ Surah Ghafir : 60 ]
Inilah yang dipilih oleh Allah s.w.t untukmu dan bukan kamu yang menentukan, kerana Dia amat mengetahui hal kamu pada waktu atau masa yang Dia kehendaki, dan bukan pada waktu atau masa kamu inginkan.
Allah s.w.t amat murka kepada golongan yang tidak memohon doa kepada-Nya, sehingga seorang penyair Arab mendeklamasikan:
“Allah s.w.t murka kamu tidak berdoa kepada-Nya, sedangkan manusia jika kamu meminta sesama manusia nescaya dia murka”
Termakbulnya doa dengan dua cara:
Pertama: Hati yang sentiasa mengingati Allah s.w.t
Kedua: Bermula dengan taubat
“Syarat utama berdoa adalah dengan menghadirkan hati ketika berdoa dan berharap agar Allah s.w.t mustajabkannya ( memakbulkannya )”.
Kita dikehendaki bersabar, yakni tanpa gopoh – gapah dan berputus asa terhadap balasan Allah s.w.t.
Daripada Abi Hurairah r.a, sabda Rasulullah s.a.w:
“Allah akan memperkenankan permintaan seseorang daripada kamu selagi mana dia tidak gopoh, lalu berkata bahawa aku telah berdoa kepada Tuhanku, namun Dia belum memperkenankannya”
[ Riwayat Muttafaqun Alaih ]
Allah s.w.t amat suka kepada hamba-Nya yang berdoa dalam keadaan mengulang – ulangi dan mendayu – dayu. Sabda Rasulullah s.a.w dalam hadis daif daripada Abdullah bin Mas’ud a.s:-
“Sesungguhnya Allah s.w.t amat suka kepada hamba – hamba yang mendayu – dayu ketika berdoa”
[ Riwayat al-Dailami 2/160 dalam al-Firdaus ]
Doa yang cukup syarat – syaratnya pasti diperkenankan oleh Allah berdasarkan nas al – Quran. Cuma ada kalanya perkenan itu dilewatkan atau ditangguh berdasarkan kehendak Allah s.w.t. Sabda Rasulullah s.a.w:
“Orang yang berdoa ada tiga keadaan, samada Allah segerakan permintaannya atau Allah s.w.t tangguhkan pahalanya atau Allah s.w.t palingkan keburukan daripadanya”.
[ Riwayat Imam Ahmad dengan sanad yang baik dan al-Hakim menyatakan sanadnya sahih ]
{ Sumber: Syarah Al-Hikam ; Ibn Attailah }
Tiada ulasan:
Catat Ulasan