Ahad, 25 Disember 2011

HIKMAH 20

Diam mengandung tujuh ribu kebaikan dan tersimpul dalam tujuh kalimat dalam tiap kalimat seribu.

Diam itu:-

1. Ibadah tanpa susah payah.

2. Perhiasan tanpa berhias

3. Kehebatan tanpa kerajaan

4. Benteng tanpa pagar

5. Kekayaan tanpa minta maaf kepada orang.

6. Istirehat bagi kedua – dua malaikat pencatat amal.

7. Menutupi segala aib

8. Juga diam disebut sebagai keindahan bagi orang alim, dan penutup bagi yang bodoh.

{ Sumber : Abullaits Assamarqandi; Tanbihul Qhafiln }

Sabtu, 30 Julai 2011

HIKMAH 19

Abullaits meriwayatkan dengan sanad Abu Ahmad Abdul- Wahab bin Muhammad Assamarqandi dari Humaid Aththawil dari Anas bin Malik r.a berkata :



Jika Allah akan memberi seorang hamba kebaikan atau akan dijadikan kekasihnya maka dituangkan bala’ atasnya dan digerojok sederas – derasnya. Lalu apabila hamba itu berdoa kali keduanya maka disambut oleh Allah:



Labbaika wasa’daika, tiadalah kau meminta sesuatu melainkan Aku berikan atau Aku tolak daripadamu yang lebih bahaya, dan Aku simpan di sisi-Ku untuk mu yang LEBIH UTAMA. Apabila tiba hari kiamat dihadapkan orang – orang ahli ‘amal lalu ditimbang ‘amal perbuatan mereka termasuk solat, puasa, sedekah, ibadah haji menurut timbangan masing – masing. Kemudian didatangkan ahlil bala’ ( yang selalu diuji / diberi bala’ oleh Allah ), bagi mereka ini tiada timbangan ‘amal tetapi pahala itu dituangkan sederas – derasnya sebagaimana dahulu di dunia dituangkan bala’ yang sederas - derasnya. Sehinggakan orang – orang yang sihat afiat yang melihat mereka ini, ingin andaikan diri dan badan mereka digunting – gunting kerana melihat pahala yang diterima oleh ahlil bala’ itu. Itulah kebenaran firman Allah:



SESUNGGUHNYA AKAN DIBAYAR TUNAI PAHALA ORANG – ORANG YANG SABAR ITU TANPA PERHITUNGAN”



[ Sumber: Tanbihul Qhafilin ; Abullaits Assamarqandi ]



Khamis, 7 Julai 2011

HIKMAH 18

Abu Darda' r.a berkata:

Seorang berkata kepadanya:-

"Ajarkan kepadaku beberapa kalimat yang berguna bagiku".

Abu Darda' berkata:-

"Saya berwasiat kepadamu beberapa kalimat, siapa yang mengamalkan maka ia akan mendapat darjat yang tinggi sebagai pahalanya:-



  • Jangan makan kecuali yang halal, mintalah rezeki kepada Allah pada setiap hari.


  • Serahkan dirimu kepada Allah,maka siapa yang memaki atau mengganggumu maka katakan kepada mereka "Kehormatanku telah aku serahkan kepada Allah".


  • Jika engkau berbuat kesalahan atau dosa maka segeralah memohon ampun kepada Allah Ta'ala".

[ Sumber: Tanbihul Qhafilin ; Abullaits Assamarqandi ]

Selasa, 5 Julai 2011

HIKMAH 17

Sahl bin Abdillah berkata:


“Segala kebaikan terhimpun pada empat cabang, iaitu Mengosongkan perut ( banyak puasa ), Diam, Khalwat ( bersuyian seorang diri ) dan berjaga malam kerana melakukan ibadah”.


Ibn ‘Ajibah pula berkata:


“Apabila seseorang menuju kepada Allah s.w.t dengan sifat – sifat yang tersebut nescaya sempurnalah kewaliannya, nyata dan zahirlah inayah-Nya, diteranginya dengan anwar ( cahaya – cahaya ) dan padamlah segala gambar makhluk daripada cermin hatinya”.


Hal ini sepertimana yang diisyaratkan oleh Syeikh Ibn ‘Ataillah pada sebahagian perkara ini yang melahirkan rasa hairan terhadap dua keadaan yang berlawanan.


Maksudnya:-


“Bagaimanakah akan terang hati seorang yang segala gambaran dunia ini terpahat dalam cermin hatinya. Atau bagaimanakah dia akan mengembara menuju kepada Allah, padahal dia masih terbelenggu oleh nafsu syahwatnya. Atau bagaimanakah akan dapat masuk ke hadrat Allah padahal dia masih belum bersih ( suci ) daripada kotoran kelalaiannya. Atau bagaimanakah dia berharap akan memahami segala isi rahsia, padahal dia belum bertaubat daripada segala kekeliruannya.”


Semua perkara yang baik seperti bercahaya hati, menuju kepada Allah s.w.t, masuk ke hadrat Allah s.w.t dan juga mengetahui sir – sir rabbani ( rahsia ketuhanan ). Semua ini tidak mungkin dicapai dan dikecapi tanpa mujahadah dan membuang segala sekatan dan halangan samada hawa nafsu syahwat, kelalaian atau kekeliruan.


Syeikh Zarruq berkata:


“Tidak mungkin hati bercahaya dengan halangan makhluk kerana sifat hati hanya satu. Apabila menerima satu perkara tidak mungkin menerima yang lain. Tandanya ialah sanggup berkorban tanpa sebarang penangguhan, dan cenderung berkorban tanpa sebab”.


Mutiara kata:


“Sengatan serangga yang berbisa ke atas jasad lebih ringan daripada sengatan syahwat ke atas hati”


Benarlah firman Allah s.w.t kepada Nabi Daud yang maksudnya:-


“Berilah peringatan kepada kaum mu supaya waspada daripada setiap nafsu syahwat kerana hati yang bergantung kepada syahwat dunia akalnya akan terhijab daripada-Ku”.


[ Hadis Kudsi ]


Al-Imam al-Baghawi di dalam tafsirnya menyebut hadis yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah r.a, sabda Rasulullah s.a.w:-


“Sesungguhnya orang yang beriman apabila melakukan dosa, tertera pada hatinya satu noktah hitam. Sebaliknya apabila bertaubat, ia dicabut dan apabila beristighfar, nescaya digilap hatinya. Dan apabila dosa bertambah, nescaya bertambah kotor hatinya hingga menyelubunginya. Begitulah rana’ yang disebut Allah s.w.t dalam kitab-Nya”.


[ Riwayat al-Tirmizi ]


Makna ayat ini ialah hati – hati mereka dikalahkan dengan sebab maksiat yang banyak dan menyelubunginya.


Al-Hasan berkata:


“Dosa di atas dosa sehingga hati mati”


Benarlah wasiat Imam Malik kepada muridnya, Imam Syafie’ r.h.m:


“Bertaqwalah kepada Allah dan jangan kamu padamkan cahaya Allah kurniakan kepadamu ini dengan maksiat”.


Syeikh al-junaid al-Baghdadi ditanya:


“Bagaimanakah cara untuk memutuskan diri daripada makhluk untuk menuju kepada Allah?”


Jawabnya:


“Bertaubat yang menghapuskan maksiat yang berterusan dan berasa takut yang menghapuskan angan – angan dan bertangguh – tangguh”.


{ Sumber: Syarah Al-Hikam – Ibn ‘Attaillah }

HIKMAH 16

Kalau ada orang berkata bahawa perlunya taat dan patuh kepada Allah S.W.T, maka aku patuh. Tetapi amat malang, kerana sudah lama aku berdoa namun masih belum diperkenankan. Lantas dijawab oleh Ibn ‘Ataillah dengan hikmah ini:-


Maksudnya..


“Jangan berputus asa, sekiranya Allah s.w.t melewatkan penerimaan doa walaupun kamu sudah bersungguh – sungguh berdoa kerana Allah telah menjamin akan menerima semua doa menurut yang Dia kehendaki untukmu, bukan menurut kehendakmu dan pada waktu yang ditentukan-Nya, bukan pada waktu yang engkau tentukan”


Janganlah berputus asa disebabkan hajat yang dipohon lambat diterima atau lambat dimakbulkan, sedangkan kamu bersungguh – sungguh berdoa. Hal ini adalah kerana Allah s.w.t telah menjamin penerimaan-Nya sepertimana firman-Nya:


“Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku akan perkenankannya”


[ Surah Ghafir : 60 ]


Inilah yang dipilih oleh Allah s.w.t untukmu dan bukan kamu yang menentukan, kerana Dia amat mengetahui hal kamu pada waktu atau masa yang Dia kehendaki, dan bukan pada waktu atau masa kamu inginkan.


Allah s.w.t amat murka kepada golongan yang tidak memohon doa kepada-Nya, sehingga seorang penyair Arab mendeklamasikan:


Allah s.w.t murka kamu tidak berdoa kepada-Nya, sedangkan manusia jika kamu meminta sesama manusia nescaya dia murka”


Termakbulnya doa dengan dua cara:


Pertama: Hati yang sentiasa mengingati Allah s.w.t


Kedua: Bermula dengan taubat


“Syarat utama berdoa adalah dengan menghadirkan hati ketika berdoa dan berharap agar Allah s.w.t mustajabkannya ( memakbulkannya )”.


Kita dikehendaki bersabar, yakni tanpa gopoh – gapah dan berputus asa terhadap balasan Allah s.w.t.


Daripada Abi Hurairah r.a, sabda Rasulullah s.a.w:


“Allah akan memperkenankan permintaan seseorang daripada kamu selagi mana dia tidak gopoh, lalu berkata bahawa aku telah berdoa kepada Tuhanku, namun Dia belum memperkenankannya”


[ Riwayat Muttafaqun Alaih ]


Allah s.w.t amat suka kepada hamba-Nya yang berdoa dalam keadaan mengulang – ulangi dan mendayu – dayu. Sabda Rasulullah s.a.w dalam hadis daif daripada Abdullah bin Mas’ud a.s:-


“Sesungguhnya Allah s.w.t amat suka kepada hamba – hamba yang mendayu – dayu ketika berdoa”


[ Riwayat al-Dailami 2/160 dalam al-Firdaus ]


Doa yang cukup syarat – syaratnya pasti diperkenankan oleh Allah berdasarkan nas al – Quran. Cuma ada kalanya perkenan itu dilewatkan atau ditangguh berdasarkan kehendak Allah s.w.t. Sabda Rasulullah s.a.w:


“Orang yang berdoa ada tiga keadaan, samada Allah segerakan permintaannya atau Allah s.w.t tangguhkan pahalanya atau Allah s.w.t palingkan keburukan daripadanya”.


[ Riwayat Imam Ahmad dengan sanad yang baik dan al-Hakim menyatakan sanadnya sahih ]


{ Sumber: Syarah Al-Hikam ; Ibn Attailah }

Sabtu, 2 Julai 2011

HIKMAH 15

Abullaits meriwayatkan dengan sanadnya dari Al'irbadh Bin Sariyah r.a:


Suatu hari Rasulullah s.a.w memberi nasihat yang sangat meresap sehingga kami bercucuran air mata dan terasa gentar dalam hati, sehingga ada seorang berkata:


"Nasihat ini seolah - olah pesan orang yang akan meninggal, maka apa yang akan kamu pesankan kepada kami ya Rasulullah ?"


Jawab Rasulullah s.a.w:

"Aku wasiatkan kepadamu supaya tetap taqwa kepada Allah, dan selalu mendengar dan patuh taat. Sesunggunya siapa yang hidup sepeninggalanku akan melihat berbagai - bagai macam pertentangan - pertentangan yang banyak. Maka hati - hati kamu dari hal yang baru, maka itu sesat. Dan siapa yang mendapat masa itu, hendaklah ia berpegang pada sunnahku dan sunnah khulafa' arrasyidin yang mendapat petunjuk hidayah.


GIGITLAH SUNNAH ITU DENGAN GIGI GERHAMMU"


[ Tanbihul Qhafilin ; Abullaits Assamarqandi ]

HIKMAH 14

Ibn Ajlan dari Said Almagburi dari Abuhurairah r.a berkata:


Ada seorang memaki Abu Bakar As-Siddiq r.a yang sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w. Ketika itu Rasulullah s.a.w tetap duduk dan diam begitu juga Abu Bakar turut diam. Tetapi ketika orang yang memaki itu telah diam, Abu Bakar lalu menjawab orang tersebut. Maka Rasulullah segera bangun dari tempatnya lalu dikejar oleh Abu Bakar. Abu bakar lalu bertanya:

"Ya Rasulullah s.a.w, orang itu telah memaki saya tetapi engkau berdiam saja, ketika saya menjawab tiba - tiba engkau bangun dan pergi. Kenapa ya Rasulullah ?"

Lalu Rasulullah menjawab:

"Sesungguhnya Malaikat telah mengembalikan semua makian orang itu kepadanya ketika engkau diam, dan ketika engkau menjawab makian, maka pergilah Malaikat dan syaitan telah duduk di situ. Maka saya tidak suka duduk di tempat tersebut bersama - sama syaitan".


Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda:



  1. Tiada seorang yang dianiaya lalu memaafkannya kerana mengharap keredhaan Allah melainkan pasti ditambah kemuliaan oleh Allah ke atas dirinya.


  2. Tiada seorang yang membuka jalan meminta - minta kerana ingin bertambah kekayaan, melainkan ditambah kekurangan ( kemiskinan ) oleh Allah ke atas dirinya.


  3. Tiada seseorang yang memberi sesuatu ikhlas kerana Allah, melainkan ditambah banyak oleh Allah ke atas dirinya.

[ Tanbihul Qhafilin ; abullaits Assamarqandi ]

HIKMAH 13

Muhammad Bin Abdullah Al-Abid berkata:


"Siapa yang meninggalkan penglihatan yang tidak perlu, ia mendapat taufiq untuk khusyu',

dan siapa meninggalkan sombong diberi taufiq untuk bertawadhu',

dan siapa yang meninggalkan bicara yang tidak penting maka ia mendapat hikmah,

dan siapa yang meninggalkan makan yang berlebihan maka diberi kelazatan beribadah,

dan siapa yang meninggalkan senda gurau diberi wibawa dan keindahan,

dan siapa yang meninggalkan ketawa maka dia berwibawa dan hebat,

dan siapa yang tidak menginginkan kekayaan orang maka dia akan dicintai,

dan siapa yang tidak menyelidiki hal orang lain maka dia diberi taufiq menyelidiki kesalahan diri sendiri"


[ Tanbihul Qhafilin ; Abullaits Assamarqandi ]

HIKMAH 12

Malik Bin Dinar dari Al-ahnaf bin Qays berkata: Umar berkata kepadaku:

"Siapa yang banyak ketawa kurang wibawanya,

dan siapa yang suka bergurau diremehkan orang,
dan siapa yang membiasakan sesuatu terkenal dengan kebiasaannya itu,

dan siapa yang banyak bicara banyak salahnya,

dan siapa yang banyak salahnya hilang malunya,

dan siapa yang hilang malunya kurang wara'nya ( hati - hatinya ),

dan siapa yang kurang wara'nya mati hatinya,

dan siapa yang mati hatinya maka neraka lebih layak baginya.


Abul-Laiths Assamarqandi berkata :

Awaslah kamu dari tertawa bergelak kerana terdapat 8 bahaya:-




  1. Tercela oleh ulama' dan orang yang sopan sempurna akal.


  2. Memberanikan orang bodoh kepadamu


  3. Jika engkau bodoh nescaya bertambah kebodohanmu dan bila engkau alim berkurang ilmumu sebab ada riwayat: " SEORANG ALIM JIKA TERTAWA BERERTI TELAH MEMUNTAHKAN ILMUNYA"


  4. Melupakan dosa - dosa yang lampau


  5. Memberanikan berbuat dosa dimasa akan datang, sebab apabila ketawa kuat membeku hatimu


  6. Melupakan mati dan akhirat.


  7. Engkau menanggung dosa orang yang ketawa kerana ketawamu


  8. Ketawa terbahak - bahak itu menyebabkan banyak menangis di akhirat.

[ Tanbihul Qhafilin ; Abullaits Assamarqandi ]

Rabu, 29 Jun 2011

HIKMAH 11

Nabi Dawud a.s berkata kepada Nabi Sulaiman a.s:


"Hai anakku, sungguh yang dapat dijadikan tanda adanya taqwa seseorang itu dengan tiga perkara:



  • Baiknya Tawakkal dalam apa yang belum tercapai.


  • Dan Redha menerima apa yang terjadi.


  • Sabar menghadapi apa yang terlepas dari tangannya.

[ Dipetik daripada Tanbihul Ghafilin ; Abullaits Assamarqandi ]

HIKMAH 10

Ibnu Abbas r.a berkata: Nabi s.a.w bersabda:



"Siapa yang ingin menjadi sekuat - kuat manusia, maka tawakkal berserah diri kepada Allah, dan siapa yang ingin menjadi semulia - mulia manusia, maka hendaklah bertaqwa kepada Allah, dan siapa yang ingin menjadi sekaya - kaya manusia, maka hendaknya lebih percaya kepada jaminan Allah lebih daripada percayanya terhadap apa yang di tangannya".



[ Dipetik Tanbihul Ghafilin ; Abullaits Assamarqandi ]

HIKMAH 9

Amalan hati samalah seperti ‘amalan lisan dan sebutan. Sewajarnya juga ‘amalan itu kena pada masa dan ketikanya. Seorang ‘ulama’ saleh ada berkata:



“Setiap hamba itu mempunyai empat waktu iaitu Nikmat, Ujian, Ketaatan dan Maksiat. Tiap – tiap waktu ini Allah Subahanallahu Wata’ala pertanggungjawabkan ke atas kamu supaya kamu gunakan masa – masa itu dengan JUJUR mengikut hukum dari Allah Subahanallahu Wata’ala.



· Siapa yang TAAT maka terbuktilah suatu pemberian Allah kepadanya.



· Siapa yang memperolehi NIKMAT, maka hendaklah dia bersyukur dan bergembira di dalam hati kerana itu adalah kurniaan Allah padanya.



· Ada masanya seseorang itu melakukan MAKSIAT, maka hendaklah dia bertaubat dan meminta ampun kepada Allah s.w.t.



· Ada masanya, seseorang itu menghadapi UJIAN, maka hendaklah dia menerimanya dengan rela hati disamping bersabar. Kerelaan hati ialah rela dengan segala ujian daripada Allah. Kesabaran ialah tabahkan hati sepanjang masa menghadapi ujian daripada-Nya.



[ Sumber: Detik – Detik Masa Dalam Kehidupan Muslim; Dr. Yusuf Al-Qardawi ]

HIKMAH 8

Kepantasan Peredaran Masa…



Masa berlalu dengan cepat, secepat awan di langit dan selaju tiupan angin. Di saat – saat keseronokan, masa dirasa berlalu dengan begitu pantas sekali. Cuma di waktu kesedihan atau kedukaan datang melanda, maka masa yang berlalu disaat – saat begini dirasakan terlalu lama. Tetapi pada hakikatnya semuanya sama. Seorang sasterawan ‘Arab telah membayangkan kepantasan peredaran masa di dalam suatu puisinya ini:-


Masa..



Kau berlalu pantas,



Seminggu dirasakan sehari,



Sebulan bagaikan seminggu,



Tanpa disedari,



Tahun ke tahun..



Seumur hidup,



Kalian rasakan…dalam impian..



Kehidupan di dunia masanya amat singkat. Biarpun ada orang yang usianya lanjut, tetapi kesudahannya meninggal juga. Malah, setiap yang bernyawa akan menemui mati. Seorang sasterawan menyatakan di dalam puisinya:-



Hidup berakhir dengan mati,



Panjang, pendek, kesudahannya sama.



Di waktu ajal datang menjelma, usia yang panjang dapat dirasakan bagai sekelip mata atau sepantas hilangnya cahaya kilat di langit. Hakikat ini terdapat di dalam sebuah kisah perbualan di antara Nabi Nuh ‘alaihissalam dengan malaikat di saat Malaikat datang untuk merangkul nyawanya. Sekalipun nabi Nuh ‘alaihissalam hidup di dunia selama lebih dari seribu tahun tetapi di waktu Malaikat datang bertanya kepadanya:-



“Wahai Nabi yang terlalu panjang umur!. Bagaimana kamu rasakan dengan umur kamu yang panjang itu?”



Jawab Nabi Nuh : “Seperti sebuah rumah yang mempunyai pintu hadapan dan belakang. Aku masuk ke dalamnya melalui pintu hadapan dan keluar melalui pintu belakang!”



Hakikat dari cerita ini membayangkan tentang hidup dan mati itu adalah merupakan jarak masa yang begitu singkat. Seterusnya hinggalah berlaku qiamat kelak. Di hari qiamat semua manusia merasakan hidup di dunia ini bagaikan impian sahaja, kerana kepantasan peredaran masa. Firman Allah Subahanallah Wata’ala:



Maksudnya: “Seolah – olah di hari Mashyar kelak mereka baru dapat rasakan hidup di dunia, lama masanya hanyalah di antara semalam atau sehari semalam”. [ Surah Al-Nazi’at : Ayat 46 ]



Maksudnya: “Dan di hari mereka dikumpulkan di padang masyar, mereka tidak rasakan hidup di dunia kecuali hanya sesaat sahaja di siang hari, yang di waktu itu mereka hanya dapat berkenal – kenalan”. [ Surah Yunus : Ayat 45 ]



( Sumber: Detik – detik masa dalam kehidupan muslim ; Dr. Yusuf Al-Qardhawi ).

Sabtu, 18 Jun 2011

Hikmah 7

Sabda Rasulullah s.a.w :

"Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi hamba-Nya, maka disegerakan pembalasan siksa di dunia, sebaliknya jika Allah menghendaki binasa terhadap hamba-Nya, maka ditahan pembalasan dosanya, hingga dituntut kelak pada hari kiamat".

[ H.R. Turmudzi ]

Hikmah 6

Para sahabat bertanya kepada Rasulullah s.a.w:
"Siapakah diantara manusia yang paling berat cubaannya?"

Rasulullah s.a.w bersabda:
"Para Nabi, kemudian orang - orang yang utama, lalu yang dibawahnya. Manusia mendapat cubaan menurut kadar agamanya. Siapa yang paling berat agamanya, itulah yang paling berat cubaannya. Dan siapa yang lemah agamanya, ringan pula cubaannya. Seseorangpun mendapat cubaan dengan musibah - musibah sehingga ia berjalan di atas bumi ini tidak mempunyai kesalahan sedikitpun".

[ H.R. Ibn Hiban ]


Hikmah 5

Orang mukmin yang beramal dan berjuang menuju tujuan hidupnya, selalu mendapat cubaan - cubaan dan kesulitan - kesulitan. Tetapi orang - orang yang pengecut yang lari dari arena perjuangan tidak terkena musibah atau kesulitan sedikitpun. Namun, orang yang semacam ini tidak akan mendapat tempat di tingkat darjat yang tinggi menurut pandangan Islam. Adapun orang yang BERSABAR mampu menghadapi kesulitan hidupnya. Niscaya akan memperoleh kemenangan walaupun dalam waktu yang lama, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

"Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah kebaikan, maka diberi-Nya penderitaan ( niscaya ia selalu mendapat ujian / cubaan )"

[ H.R. Bukhari ]

Hikmah 4

Rasulullah s.a.w bersabda :

"Bahawasanya besarnya pahala itu tergantung pada besarnya ujian bala, dan sesungguhnya Allah Taala apabila mencintai sesuatu kaum, maka kaum itu diuji-Nya terlebih dahulu, maka barangsiapa yang rela mendapat ujian itu, meka mendapat keredhaan Allah, dan barang siapa yang benci, maka kemurkaan Allah bagi-Nya"

[ H.R. Turmudzi ]

Hikmah 3

Firman Allah s.w.t:

" Dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal - hal yang diwajibkan ( oleh Allah )"

[ S. Luqman, ayat 17 ]

Hikmah 2

Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya Allah apabila menghendaki membinasakan seseorang, Dia mencabut rasa malu dari padanya. Apabila rasa malunya sudah dicabut, kamu tidak menjumpainya kecuali dibenci. Kemudian apabila tidak ditemuinya kecuali dibenci, dicabutlah daripadanya amanat / kepercayaan. Apabila sudah dicabut sifat amanah / kepercayaan dari padanya, maka tidak akan didapatinya kecuali sebagai pengkhianat dan dikhianati. Kalau sudah jadi pengkhianat dan dikhianati, maka dicabutkan daripadanya rahmat. Kalau sudah dicabut rahmat daripadanya, tidak akan kamu dapati kecuali terkutuk yang mengutuk. Apabila terkutuk yang mengutuk sudah dicabut daripadanya, maka akhirnya dicabutkan ikatan keIslamannya".
( H.R. Ibnu Majah )

Isnin, 7 Februari 2011

HIKMAH 1

Dalam peristiwa raji’ beberapa pendak’wah Islam telah dibunuh. Sewaktu mereka dalam perjalanan ke daerah ‘Adal dan Qarah untuk mengembangkan da’wah Islam dan membimbing penduduknya. Diantara yang terbunuh itu ialah ‘Asma bin Sabit. Ketika beliau hendak dibunuh beliau sempat menggubah sebuah madah yang berbunyi :

“Apa cacatku jika aku manusia tabah dan gagah,

Busar panahku teguh dan kukuh sentiasa,

Dari busarku nan kukuh meluncur panah,

Maut itu kan hakikat dan hidup itu maya,

Segala yang ditakdirkan Tuhan pasti,

Mengenali seseorang, bukanlah kepada Allah jua ia akan kembali”

Seorang lagi yang menerima nasib yang sama ialah Khubaib bin ‘Adi. Ketika ia dibawa keluar daripada kawasan Masjidil Haram untuk dibunuh ia meminta kepada orang kafir itu supaya membenarkannya sembahyang dua raka’at. Selepas itu ia datang semula. Dan dia berkata:

Kalaulah tidak kerana kamu mungkin menyangka aku takut mati,

Nescaya aku akan menambah lagi kadar sembahyangku”

Beliau lah orang yang pertama memulakan ‘amalan sembahyang dua rakaat apabila hendak dibunuh. Kemudian beliau berdoa dan kemudian bermadah:

“Sekiranya Allah menghendaki berkat,

Pada anggotaku yang hancur lumat,

Persetan tubuhku dibunuh mati,

Untuk Allahlah kematianku pasti”

( Dipetik daripada : Bahtera Penyelamat ; dalam kehidupan pendakwah – Fathi Yakan )

Jumaat, 4 Februari 2011

Selamat Menghayati Cinta Ilahi....


Bismillahirrahmanirrahim...Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Para pembaca blog yang dicintai. Bagi menyahut seruan dakwah yang menjadi kewajipan semua, sekali lagi saya cuba mengusahakan sedikit paparan hikmah yang saya petik daripada pelbagai sumber. Untuk usaha kali ini, saya cuba memuatkan kandungan hikmah yang lebih ringkas dan mudah difahami bagi semua golongan. Blog JALANKU MENUJU KE AKHIRAT ini lebih menumpukan petikan hikmah yang diharapkan dapat melembutkan jiwa yang telah lama jauh daripada sentuhan CINTA ILAHI. Besar harapan saya agar hikmah – hikmah ini dapat dimanfaatkan seterusnya menjadi rujukan rohani bersama dalam menempuh ujian jiwa yang sangat mengkhuatirkan. Salam Cinta…Saya Saudara SeIslam-kalian…Wassalam..