Ahad, 25 Disember 2011

HIKMAH 20

Diam mengandung tujuh ribu kebaikan dan tersimpul dalam tujuh kalimat dalam tiap kalimat seribu.

Diam itu:-

1. Ibadah tanpa susah payah.

2. Perhiasan tanpa berhias

3. Kehebatan tanpa kerajaan

4. Benteng tanpa pagar

5. Kekayaan tanpa minta maaf kepada orang.

6. Istirehat bagi kedua – dua malaikat pencatat amal.

7. Menutupi segala aib

8. Juga diam disebut sebagai keindahan bagi orang alim, dan penutup bagi yang bodoh.

{ Sumber : Abullaits Assamarqandi; Tanbihul Qhafiln }

Sabtu, 30 Julai 2011

HIKMAH 19

Abullaits meriwayatkan dengan sanad Abu Ahmad Abdul- Wahab bin Muhammad Assamarqandi dari Humaid Aththawil dari Anas bin Malik r.a berkata :



Jika Allah akan memberi seorang hamba kebaikan atau akan dijadikan kekasihnya maka dituangkan bala’ atasnya dan digerojok sederas – derasnya. Lalu apabila hamba itu berdoa kali keduanya maka disambut oleh Allah:



Labbaika wasa’daika, tiadalah kau meminta sesuatu melainkan Aku berikan atau Aku tolak daripadamu yang lebih bahaya, dan Aku simpan di sisi-Ku untuk mu yang LEBIH UTAMA. Apabila tiba hari kiamat dihadapkan orang – orang ahli ‘amal lalu ditimbang ‘amal perbuatan mereka termasuk solat, puasa, sedekah, ibadah haji menurut timbangan masing – masing. Kemudian didatangkan ahlil bala’ ( yang selalu diuji / diberi bala’ oleh Allah ), bagi mereka ini tiada timbangan ‘amal tetapi pahala itu dituangkan sederas – derasnya sebagaimana dahulu di dunia dituangkan bala’ yang sederas - derasnya. Sehinggakan orang – orang yang sihat afiat yang melihat mereka ini, ingin andaikan diri dan badan mereka digunting – gunting kerana melihat pahala yang diterima oleh ahlil bala’ itu. Itulah kebenaran firman Allah:



SESUNGGUHNYA AKAN DIBAYAR TUNAI PAHALA ORANG – ORANG YANG SABAR ITU TANPA PERHITUNGAN”



[ Sumber: Tanbihul Qhafilin ; Abullaits Assamarqandi ]



Khamis, 7 Julai 2011

HIKMAH 18

Abu Darda' r.a berkata:

Seorang berkata kepadanya:-

"Ajarkan kepadaku beberapa kalimat yang berguna bagiku".

Abu Darda' berkata:-

"Saya berwasiat kepadamu beberapa kalimat, siapa yang mengamalkan maka ia akan mendapat darjat yang tinggi sebagai pahalanya:-



  • Jangan makan kecuali yang halal, mintalah rezeki kepada Allah pada setiap hari.


  • Serahkan dirimu kepada Allah,maka siapa yang memaki atau mengganggumu maka katakan kepada mereka "Kehormatanku telah aku serahkan kepada Allah".


  • Jika engkau berbuat kesalahan atau dosa maka segeralah memohon ampun kepada Allah Ta'ala".

[ Sumber: Tanbihul Qhafilin ; Abullaits Assamarqandi ]

Selasa, 5 Julai 2011

HIKMAH 17

Sahl bin Abdillah berkata:


“Segala kebaikan terhimpun pada empat cabang, iaitu Mengosongkan perut ( banyak puasa ), Diam, Khalwat ( bersuyian seorang diri ) dan berjaga malam kerana melakukan ibadah”.


Ibn ‘Ajibah pula berkata:


“Apabila seseorang menuju kepada Allah s.w.t dengan sifat – sifat yang tersebut nescaya sempurnalah kewaliannya, nyata dan zahirlah inayah-Nya, diteranginya dengan anwar ( cahaya – cahaya ) dan padamlah segala gambar makhluk daripada cermin hatinya”.


Hal ini sepertimana yang diisyaratkan oleh Syeikh Ibn ‘Ataillah pada sebahagian perkara ini yang melahirkan rasa hairan terhadap dua keadaan yang berlawanan.


Maksudnya:-


“Bagaimanakah akan terang hati seorang yang segala gambaran dunia ini terpahat dalam cermin hatinya. Atau bagaimanakah dia akan mengembara menuju kepada Allah, padahal dia masih terbelenggu oleh nafsu syahwatnya. Atau bagaimanakah akan dapat masuk ke hadrat Allah padahal dia masih belum bersih ( suci ) daripada kotoran kelalaiannya. Atau bagaimanakah dia berharap akan memahami segala isi rahsia, padahal dia belum bertaubat daripada segala kekeliruannya.”


Semua perkara yang baik seperti bercahaya hati, menuju kepada Allah s.w.t, masuk ke hadrat Allah s.w.t dan juga mengetahui sir – sir rabbani ( rahsia ketuhanan ). Semua ini tidak mungkin dicapai dan dikecapi tanpa mujahadah dan membuang segala sekatan dan halangan samada hawa nafsu syahwat, kelalaian atau kekeliruan.


Syeikh Zarruq berkata:


“Tidak mungkin hati bercahaya dengan halangan makhluk kerana sifat hati hanya satu. Apabila menerima satu perkara tidak mungkin menerima yang lain. Tandanya ialah sanggup berkorban tanpa sebarang penangguhan, dan cenderung berkorban tanpa sebab”.


Mutiara kata:


“Sengatan serangga yang berbisa ke atas jasad lebih ringan daripada sengatan syahwat ke atas hati”


Benarlah firman Allah s.w.t kepada Nabi Daud yang maksudnya:-


“Berilah peringatan kepada kaum mu supaya waspada daripada setiap nafsu syahwat kerana hati yang bergantung kepada syahwat dunia akalnya akan terhijab daripada-Ku”.


[ Hadis Kudsi ]


Al-Imam al-Baghawi di dalam tafsirnya menyebut hadis yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah r.a, sabda Rasulullah s.a.w:-


“Sesungguhnya orang yang beriman apabila melakukan dosa, tertera pada hatinya satu noktah hitam. Sebaliknya apabila bertaubat, ia dicabut dan apabila beristighfar, nescaya digilap hatinya. Dan apabila dosa bertambah, nescaya bertambah kotor hatinya hingga menyelubunginya. Begitulah rana’ yang disebut Allah s.w.t dalam kitab-Nya”.


[ Riwayat al-Tirmizi ]


Makna ayat ini ialah hati – hati mereka dikalahkan dengan sebab maksiat yang banyak dan menyelubunginya.


Al-Hasan berkata:


“Dosa di atas dosa sehingga hati mati”


Benarlah wasiat Imam Malik kepada muridnya, Imam Syafie’ r.h.m:


“Bertaqwalah kepada Allah dan jangan kamu padamkan cahaya Allah kurniakan kepadamu ini dengan maksiat”.


Syeikh al-junaid al-Baghdadi ditanya:


“Bagaimanakah cara untuk memutuskan diri daripada makhluk untuk menuju kepada Allah?”


Jawabnya:


“Bertaubat yang menghapuskan maksiat yang berterusan dan berasa takut yang menghapuskan angan – angan dan bertangguh – tangguh”.


{ Sumber: Syarah Al-Hikam – Ibn ‘Attaillah }

HIKMAH 16

Kalau ada orang berkata bahawa perlunya taat dan patuh kepada Allah S.W.T, maka aku patuh. Tetapi amat malang, kerana sudah lama aku berdoa namun masih belum diperkenankan. Lantas dijawab oleh Ibn ‘Ataillah dengan hikmah ini:-


Maksudnya..


“Jangan berputus asa, sekiranya Allah s.w.t melewatkan penerimaan doa walaupun kamu sudah bersungguh – sungguh berdoa kerana Allah telah menjamin akan menerima semua doa menurut yang Dia kehendaki untukmu, bukan menurut kehendakmu dan pada waktu yang ditentukan-Nya, bukan pada waktu yang engkau tentukan”


Janganlah berputus asa disebabkan hajat yang dipohon lambat diterima atau lambat dimakbulkan, sedangkan kamu bersungguh – sungguh berdoa. Hal ini adalah kerana Allah s.w.t telah menjamin penerimaan-Nya sepertimana firman-Nya:


“Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku akan perkenankannya”


[ Surah Ghafir : 60 ]


Inilah yang dipilih oleh Allah s.w.t untukmu dan bukan kamu yang menentukan, kerana Dia amat mengetahui hal kamu pada waktu atau masa yang Dia kehendaki, dan bukan pada waktu atau masa kamu inginkan.


Allah s.w.t amat murka kepada golongan yang tidak memohon doa kepada-Nya, sehingga seorang penyair Arab mendeklamasikan:


Allah s.w.t murka kamu tidak berdoa kepada-Nya, sedangkan manusia jika kamu meminta sesama manusia nescaya dia murka”


Termakbulnya doa dengan dua cara:


Pertama: Hati yang sentiasa mengingati Allah s.w.t


Kedua: Bermula dengan taubat


“Syarat utama berdoa adalah dengan menghadirkan hati ketika berdoa dan berharap agar Allah s.w.t mustajabkannya ( memakbulkannya )”.


Kita dikehendaki bersabar, yakni tanpa gopoh – gapah dan berputus asa terhadap balasan Allah s.w.t.


Daripada Abi Hurairah r.a, sabda Rasulullah s.a.w:


“Allah akan memperkenankan permintaan seseorang daripada kamu selagi mana dia tidak gopoh, lalu berkata bahawa aku telah berdoa kepada Tuhanku, namun Dia belum memperkenankannya”


[ Riwayat Muttafaqun Alaih ]


Allah s.w.t amat suka kepada hamba-Nya yang berdoa dalam keadaan mengulang – ulangi dan mendayu – dayu. Sabda Rasulullah s.a.w dalam hadis daif daripada Abdullah bin Mas’ud a.s:-


“Sesungguhnya Allah s.w.t amat suka kepada hamba – hamba yang mendayu – dayu ketika berdoa”


[ Riwayat al-Dailami 2/160 dalam al-Firdaus ]


Doa yang cukup syarat – syaratnya pasti diperkenankan oleh Allah berdasarkan nas al – Quran. Cuma ada kalanya perkenan itu dilewatkan atau ditangguh berdasarkan kehendak Allah s.w.t. Sabda Rasulullah s.a.w:


“Orang yang berdoa ada tiga keadaan, samada Allah segerakan permintaannya atau Allah s.w.t tangguhkan pahalanya atau Allah s.w.t palingkan keburukan daripadanya”.


[ Riwayat Imam Ahmad dengan sanad yang baik dan al-Hakim menyatakan sanadnya sahih ]


{ Sumber: Syarah Al-Hikam ; Ibn Attailah }

Sabtu, 2 Julai 2011

HIKMAH 15

Abullaits meriwayatkan dengan sanadnya dari Al'irbadh Bin Sariyah r.a:


Suatu hari Rasulullah s.a.w memberi nasihat yang sangat meresap sehingga kami bercucuran air mata dan terasa gentar dalam hati, sehingga ada seorang berkata:


"Nasihat ini seolah - olah pesan orang yang akan meninggal, maka apa yang akan kamu pesankan kepada kami ya Rasulullah ?"


Jawab Rasulullah s.a.w:

"Aku wasiatkan kepadamu supaya tetap taqwa kepada Allah, dan selalu mendengar dan patuh taat. Sesunggunya siapa yang hidup sepeninggalanku akan melihat berbagai - bagai macam pertentangan - pertentangan yang banyak. Maka hati - hati kamu dari hal yang baru, maka itu sesat. Dan siapa yang mendapat masa itu, hendaklah ia berpegang pada sunnahku dan sunnah khulafa' arrasyidin yang mendapat petunjuk hidayah.


GIGITLAH SUNNAH ITU DENGAN GIGI GERHAMMU"


[ Tanbihul Qhafilin ; Abullaits Assamarqandi ]

HIKMAH 14

Ibn Ajlan dari Said Almagburi dari Abuhurairah r.a berkata:


Ada seorang memaki Abu Bakar As-Siddiq r.a yang sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w. Ketika itu Rasulullah s.a.w tetap duduk dan diam begitu juga Abu Bakar turut diam. Tetapi ketika orang yang memaki itu telah diam, Abu Bakar lalu menjawab orang tersebut. Maka Rasulullah segera bangun dari tempatnya lalu dikejar oleh Abu Bakar. Abu bakar lalu bertanya:

"Ya Rasulullah s.a.w, orang itu telah memaki saya tetapi engkau berdiam saja, ketika saya menjawab tiba - tiba engkau bangun dan pergi. Kenapa ya Rasulullah ?"

Lalu Rasulullah menjawab:

"Sesungguhnya Malaikat telah mengembalikan semua makian orang itu kepadanya ketika engkau diam, dan ketika engkau menjawab makian, maka pergilah Malaikat dan syaitan telah duduk di situ. Maka saya tidak suka duduk di tempat tersebut bersama - sama syaitan".


Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda:



  1. Tiada seorang yang dianiaya lalu memaafkannya kerana mengharap keredhaan Allah melainkan pasti ditambah kemuliaan oleh Allah ke atas dirinya.


  2. Tiada seorang yang membuka jalan meminta - minta kerana ingin bertambah kekayaan, melainkan ditambah kekurangan ( kemiskinan ) oleh Allah ke atas dirinya.


  3. Tiada seseorang yang memberi sesuatu ikhlas kerana Allah, melainkan ditambah banyak oleh Allah ke atas dirinya.

[ Tanbihul Qhafilin ; abullaits Assamarqandi ]